Sunday, September 27, 2020

MAKSUD DI SEBALIK RUKUN NEGARA

 


MALAYSIA TANAH 

AIR KU

 

"Harum sungguh bunga kemboja,
Bunga karangan cantik tersemat,
Janganlah membaca kulit sahaja,
Telitilah kandungan sehingga tamat."


R

ukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di- Pertuan Agong IV. Rukun Negara diperkenalkan berikutan peristiwa 13 Mei 1969 yang melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia. Rukun Negara dibentuk dengan tujuan utama iaitu membentuk perpaduan yang kukuh. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia. Rukun Negara terbahagi kepada dua bahagian:

 


Bahagian Pertama

Menggariskan objektif masyarakat Malaysia yang mahu dibentuk:-

 

·      πŸ’“ Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat,

·      πŸ’“ Memelihara satu cara hidup demokratik,

·   πŸ’“Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama,

·      πŸ’“Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak, dan

·      πŸ’“Membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

 




Bahagian Kedua

Menggariskan Lima Prinsip Rukun Negara yang berikut:-

 

·        πŸ’œKepercayaan Kepada Tuhan

·        πŸ’œKesetiaan Kepada Raja dan Negara

·        πŸ’œKeluhuran Perlembagaan

·        πŸ’œKedaulatan Undang-undang

·        πŸ’œ Kesopanan dan Kesusilaan

 



Maksud Setiap Prinsip Rukun Negara

 

 

Ø  Kepercayaan kepada Tuhan

Kepercayaan kepada Tuhan ialah bangsa dan negara ini mempunyai kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Islam adalah Agama Rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram. Kepercayaan kepada Tuhan amat penting dalam kehidupan manusia. Ini kerana, ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan merosakkan bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.

 

 

Ø  Kesetiaan Kepada Raja dan Negara

Kesetiaan kepada raja dan Negara adalah berteraskan kepada amalan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

 


Ø  Keluhuran Perlembagaan

Keluhuran Perlembagaan adalah menekankan rakyat perlu menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi dan berfungsi untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Oleh hal yang demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Ianya juga adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosioekonomi rakyat.

 

 

Ø  Kedaulatan Undang - Undang

Keadilan yang diasaskan atas kedaulatan undang-undang menunjukkan bahawa setiap rakyat adalah sama taraf di sisi undang-undang. Selain itu, Kebebasan asasi juga terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara yang berasaskan perlembagaan perlu diterima dan dipertahankan kedaulatannya. Tanpa adanya undang-undang maka negara tidak dapat mencapai keamanan dan kestabilan. Seterusnya, undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman dan makmur. Hak-hak semua rakyat juga boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.

 

 

Ø  Kesopanan dan Kesusilaan

Kesopanan dan kesusilaan menekankan personaliti dan tingkah laku setiap rakyat. Ianya bertujuan untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin dan bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.





DISEBALIK MAKNA PRINSIP RUKUN NEGARA

 

      πŸ’¨ Rukun Negara adalah merupakan ideologi kebangsaan Malaysia yang dibentuk pada 31 Ogos 1970 berikutan peristiwa 13 Mei 1969 yang telah melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia. Tujuan utama Rukun Negara dibentuk adalah untuk membentuk perpaduan yang kukuh. Oleh itu, prinsip-prinsip dalam Rukun Negara  adalah kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia.

 

      πŸ’¨ Melalui Rukun Negara, Malaysia mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya, memelihara satu cara hidup demokratik, iaitu dengan mencipta satu masyarakat yang adil agar kemakmuran negara dapat dinikmati bersama, menjamin satu cara hidup yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya serta membina satu masyarakat progresif yang menggunakan sains dan teknologi moden dalam rangkaian kehidupan. Terdapat lima prinsip dalam Rukun Negara yang perlu dijiwai oleh setiap rakyat Malaysia iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan dan Kesusilaan.

 

 


 

KESIMPULAN

      πŸ’¨ Rukun Negara bukanlah sekadar prinsip yang yang hanya dilafazkan dengan ikrar tetapi ianya menuntut kesungguhan setiap warganegara untuk menghayati dan mengamalkannya. Justeru, mengamalkan Rukun Negara akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu tanpa mengira kaum serta bersikap saling menghormati antara satu sama lain. Melalui perpaduan yang kukuh, pertumbuhan ekonomi dapat ditingkatkan dan kestabilan politik dapat dikekalkan dalam sistem pemerintahan negara yang bercorak demokratik.

 

                                   

PERSOALAN

1.    πŸ’£ Apakah objektif utama rukun negara ditubuhkan?

2.   πŸ’£ Mengapakah dasar ekonomi baru  [ DEB ] ditubuhkan?

3.    πŸ’£ Apakah maksud rukun negara?

4.    πŸ’£ Bilakah rukun negara dibentuk?

5.    πŸ’£ Mengapakah 5 prinsip rukun negara penting untuk kita?

    

   πŸ’¬Sekiranya ada mempunyai soalan yang ingin bertanyakan kepada kami, sila nyatakan di ruang komen di bawah kemudian kami akan menjawabnya ;)

   πŸ’¬ Jika anda bosan, boleh lah untuk meluangkan sedikit masa untuk menjawab soalan-soalan yang dinyatakan di atas pada ruang komen di bawah :0



 


πŸ’₯Sedikit lagu mengenai rukun negara di negara kita...

Cc: https://www.youtube.com/watch?v=Ep0Vo8UnnU4


                             SEKIAN TERIMA KASIH DARI KAMI, 

πŸ™† NUR AMNIWAFA BINTI AYUB (14DHF20F1013)

πŸ™†SYAIRAH BINTI ABDUL SAMAD (14DHF20F1007)

πŸ™†SARA HAZWIN BINTI AZALDIN (14DHF20F1017)


                                             Nama Pensyarah: Tuan Mohd Faizal Bin Mat Pesa

MAKSUD DI SEBALIK RUKUN NEGARA

  MALAYSIA TANAH  AIR KU   "Harum sungguh bunga kemboja, Bunga karangan cantik tersemat,...